Ahad, 10 Jun 2012

KEADILAN TUHAN

Antara munajat Nabi Musa a.s kepada ALLAH s.w.t
di bukit Tursina ialah,"Ya ALLAH, tunjukkanlah 
keadilan-Mu kepadaku.


   ALLAH s.w.t berfirman kepadanya, "Jika Aku
menampakkan keadilan-Ku kepadamu, engkau tidak
akan dapat bersabar dan tergesa-gesa menyalahkan-Ku."


   Nabi Musa a.s berkata, "Dengan taufik daripada-Mu,
aku akan dapat bersabar menerima dan menyelesaikan keadilan-Mu."


   ALLAH s.w.t berfirman, "Pergilah engkau ke tempat 
yang ada mata air. Bersembunyilah di tempat tersebut
dan saksikanlah apa yang akan terjadi."


   Nabi Musa a.s pergi ke tempat yang ditunjukkan.
Baginda naik ke atas bukit dan sembunyi sambil
memerhatikan sesuatu yang dijanjikan ALLAH s.w.t..


   Tidak lama kemudian, datang seorang 
penunggang kuda. Dia turun dari kudanya, kemudian
berwuduk dan meminum air dari mata air tersebut.
Kemudian dia bersolat dan meletakkan satu
karung yang berisi 1000 dinar di tepinya. Selepas itu,
dia pergi dengan terburu-buru sehingga terlupa karungnya.


   Tidak lama selepas itu, datang seorang anak kecil.
Dia meminum air dan melihat karung yang 
ditnggalkan. Dia mengambilnya dan terus pergi dari 
tempat itu.


   Selepas itu, datang pula seorang lelaki buta.
Dia minum dan berwuduk, lalu bersolat. Selepas
menunaikan solat dan bersiap hendak pergi, tiba-tiba
lelaki penunggang kuda tadi datang kembali.
   
   Dia berkata kepada lelaki buta, "Kamu telah 
mengambil karungku yang bersi dinar disini."


   Lelaki buta terkejut dan berkata, "Bagaimana 
aku boleh mengambil karung tersebut sedangkan 
aku tidak boleh melihat?"


   Penungang kuda tetap berkeras. "Kamu jangan 
bohong kerana tidak ada orang lain selain kamu di sini."


   Lelaki buta menjawab, "Betul, hanya aku disini.
Tetapi kamu sendiri tahu aku tidak boleh melihat."


   Penunggang kuda meninggikan suaranya, 
"Mengambil karung tidak semestinya dengan mata, 
tangan pun boleh melakukannya."


   Oleh sebab terlalu marah, dia membunuh 
lelaki buta tersebut. Selepas itu, dia cuba mencari-cari 
karung pada badan lelaki buta, tetapi tidak
menjumpainya. Dia pun berlalu pergi dan meninggalkan
mayat lelaki buta di situ.


   Selepas melihat kejadian tersebut, Nabi Musa a.s. 
berkata, "Ya ALLAH, memang benar kata-Mu,
ia betul-betul menguji kesabaranku. Namun, aku 
yakin sesungguhnya Engkau Maha Adil."


   Selepas itu, Jibri a.s. datang dan berkata ,
"ALLAH s.w.t memerintahkan aku agar menyampaikan 
penjelasan-Nya kepadamu. Dia mengatakan bahawa
Dialah  yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib
yang engkau tidak ketahui. Dia menyebutkan bahawa 
anak kecil yang mengambil karung berisi dinar
telah mengambil kembali haknya semula. Dahulu 
ayahnya pernah bekerja dengan lelaki penunggang kuda
tersebut, tetapi tidak pernah dibayar gaji.
Jumlah gaji yang harus dibayar kepadanya sama 
dengan sejumlah dinar yang ada dalam karung tersebut.
Lelaki buta yang dibunuh tadi sebenarnya 
adalah pembunuh ayah kepada anak kecil tersebut
sebelum dia buta."


   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan